Monday 20 June 2016

Tukar Tradisi Demi Pahala Berganda (Salam Ramadan....)

Assalamualaikum sahabat.....

Salam Ramadan Al Mubarak

Hari ini adalah hari yang ke 16 Ramadan 1437 H....Alhamdulillah, dalam diam sudah separuh Ramadan ditinggalkan....

Jomm cheteh share kan artikel tradisi memberi duit raya @ sedekah di bulan Ramadan, semoga bermanfaat untuk kita semua.

Dalam Islam perkara yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri adalah Zakat Fitrah. Mesej daripada ibadat Zakat Fitrah ini adalah meraikan hari kegembiraan bersama dengan mereka yang kurang berkemampuan supaya turut meraikannya bersama dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Selari dengan tuntutan ibadah tersebut, kita digalakkan memperbanyakkan sedekah agar semua golongan dapat menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan. Langkah memperbanyakkan amalan bersedekah kepada orang miskin dan anak yatim sememangnya amalan yang sangat mulia dan terpuji.

Selain itu amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak untuk melahirkan kesyukuran dan mengharapkan kanak-kanak bergembira adalah sesuatu yang amat positif, namun kesan daripada budaya memberi duit raya ini agak membimbangkan kerana berkemungkinan akan menyebabkan kanak-kanak tidak memahami hasrat sebenar pemberian duit raya tersebut dan menganggap tidak sah menyambut raya tanpa duit raya.

Namun kini dalam masyarakat kita, amalan memberi duit raya @ 'ang pau' seolah-olah merupakan satu kemestian dan tidak boleh dipisahkan. Malah, kadangkala kita sering terdengar keluhan sesetengah orang yang tidak mampu menyediakan duit raya, juga terdapat kanak-kanak yang mengeluh kerana tidak diberi duit raya.

Tidak dinafikan budaya bersedekah adalah tuntutan dalam islam  apatah lagi pada hari kita melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah. Namun melihat kepada amalan masyarakat kita pada hari ini, budaya memberi duit raya pada hari raya sedikit tersasar daripada konsep sedekah dalam islam atas beberapa alasan berikut:

Pertama: Budaya memberi duit raya pada hari ini bukan mengutamakan golongan susah, fakir miskin atau anak yatim seperti yang dianjurkan. Sebaliknya kita jadi serba salah untuk memberikan duit raya yang sedikit jumlahnya kepada kanak-kanak daripada keluarga yang kaya kerana berasa bimbang mereka akan memandang rendah kepada pemberian kita sekali gus bimbang dipandang serong serta dicemuh apabila jumlah duit yang diisi dalam sampul tidak berbaloi! Walhal kalau diikutkan siapa yang lebih berhak dapat banyak, sudah tentulah sasarannya anak yatim yang susah serta orang-orang fakir dan miskin.

Kedua: Amalan menggalakkan kanak-kanak meneruskan budaya mengunjungi dari rumah ke rumah secara berkumpulan tanpa kawalan ibu bapa dan keluarga kebanyakannya bertukar menjadi kumpulan peminta sedekah kerana penghayatan ziarah tidak begitu dihayati oleh kanak-kanak yang masih kecil. Dikalangan orang dewasa pula, memberi duit raya kepada golongan kanak-kanak sebegini bukan lagi kerana niat bersedekah, tetapi lebih kepada faktor desakan dan permintaan golongan kanak-kanak tersebut. Atau mungkin juga kerana tidak mahu mereka berlama-lama di rumah kita, maka kita cepat-cepat menghulurkan sampul raya dengan harapan mereka boleh beredar dengan cepat. Alahai betapa terpesongnya amalan kita hari ini!, dan sesuatu yang pasti silaturahim entah ke mana apatah lagi mahu mengenali siapa pula nama tuan rumah ni ye??

Ketiga: Rasanya semua orang sudah tahu bahawa amalan bersedekah di bulan Ramadan ganjaranya cukup besar di sisi Allah, tapi kita terlalu kedekut untuk memberi pada waktu itu bahkan sebolehnya menyimpan duit yang ada untuk dihulurkan di hari raya. Alangkah kita sebenarnya cukup rugi kerana gandaan pahala di bulan  Ramadan kita lepaskan begitu sahaja.

Dan sekali lagi yang pasti, apakah pahala yang sedikit itu lebih kita pandang daripada yang banyak? Fikir-fikirlah dan jom kita ubah tradisi ini dan renung kata-kata Ibnu Abbas r.a. yang menyebut..."Nabi s.a.w adalah manusia yang baik dan pemurah dengan segala jenis kebaikan dan Nabi paling pemurah adalah di bulan Ramadan, di mana ketika bertemu Jibrail yang datang di setiap hari di bulan Ramadan membentangkan (menyemak) Al-Quran daripada Nabi s.a.w. Apabila bertemu Jibrail maka Nabi akan menjadi paling pemurah dengan kebaikan lebih dari angin yang bertiup." (HR Bukhari)

KEBURUKAN MEMBERI DUIT RAYA

Hakikatnya tidak salah memberi pada waktu mana yang hendak kita beri. Tapi kalau ada waktu yang lebih afdal apa salahnya kita rebut peluang yang tersedia di depan mata. Apa pun, budaya memberi duit raya perlu dikawal supaya tidak lahir pada masa akan datang generasi yang menyambut raya semata-mata tradisi duit raya tanpa menghayati roh sebenar sambutan hari raya. Antara kesan yang dibimbangkan ialah:  

1) Muncul generasi islam yang tidak memahami aspirasi sebenar menyambut hari raya yang lebih mengutamakan takbir, tasbih dan tahmid di samping amalan ziarah dan bermaaf-maafan.

2) Generasi kanak-kanak dan belia hari ini akan membesar dalam persekitaran materialistik dan lebih mementingkan  elemen material berbanding dengan aspek roh hari raya itu sendiri dan akan wujud badaya meminta oleh kanak-kanak yang mendesak orang dewasa memberi duit raya.

3) Kemungkinan timbul ketakutan di kalangan ahli masyarakat yang bimbang dicemuh lantaran tidak menyediakan duit raya atau tidak memenuhi tradisi budaya memberi duit raya.

4) Wujud budaya persaingan mengumpul duit raya di kalangan kanak-kanak. Malah lebih teruk berlaku persaingan di kalangan adik-beradik sendiri sehingga boleh membawa kepada sifat iri hati dan cemburu.

Maka sewajarnya amalan ini perlu dinilai semula agar tidak timbul keburukan di sebalik amalan bersedekah yang murni ini.

AMALAN BERSEDEKAH

Sesuatu yang perlu difahami, pemberian duit raya tidaklah menyalahi syariat islam. Bahkan ia samalah seperti amalan memberi sedekah atau hadiah kepada seseorang dengan tujuan dapat mengeratkan silaturahim.  

Bukan itu sahaja, pemberian yang diberikan ini adalah sebagai kebajikan yang mengharapkan keredaan Allah dan pahala semata-mata. Sedekah boleh diberikan kepada sesiapa saja tanpa mengira miskin atau kaya. Namun kita dituntut untuk bersedekah kepada orang miskin dan sangat memerlukan. Nabi s.a.w. bersabda: "Takutila api neraka walaupun dengan sebiji tamar." Sabdanya lagi; "Sedekah itu penghapus dosa seperti air memadam api."

Sedekah yang lebih utama diberikan kepada kaum kerabat atau sanak saudara terdekat sebelum diberikan kepada orang lain. Ini selaras dengan memelihara keluarga daripada meminta-minta dan mencukupkan keperluan keluarga terdekat dahulu. Kemudian barulah diberikan kepada orang lain, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai." (Ali Imran: 92)

Pemberian duit Raya setahun sekali ini bukan sahaja memberikan duit simpanan kepada kanak-kanak, malah mereka juga boleh menggunakan 'pemberian' tersebut untuk kegunaan peribadi seperti membeli buku dan keperluan persekolahan.

Pun begitu, dalam memberi perlukan keikhlasan dan jarang lakukan dalam keadaan terpaksa atau takut orang kata, "Tuan rumah tu kedekutlah, tak ada langsung duit raya!" Awas...jangan sesekali hal ini berlaku.



#sumber: Iman




    

No comments:

Post a Comment

Indahnya Bersalam

Assalamualaikum sahabat... #Rasulullah SAW bersabda:  "Jika seorang Mukmin bertemu dengan Mukmin lain lalu mengucapkan salam ke...