Thursday 30 June 2016

Dalam Duka Ada Bahagia...

Assalamualaikum sahabat....

Dahulu dalam rancangan-rancangan permintaan lagu di radio, banyak sekali kita dengar ucapan "semoga anda berbahagia selalu". Mungkin sekarang radio bukan lagi peneman kesunyian bagi kebanyakan kita, sekarang telefon bimbit adalah teman sejati, teknologi canggih  membolehkan kita terus sahaja menyampaikan ucapan kepada sesiapa yang dikehendaki dan boleh menghantar lagu-lagu yang ingin didengar. Menariknya hingga kini ucapan-ucapan yang dihantar tetap sahaja diselitkan dengan ucapan untuk kebahagiaan. Tiada siapa yang tidak mahu bahagia kan?? Kalau boleh kita mahu berasa bahagia sentiasa sehingga kita memejamkan mata buat selamanya.... Pendek kata, hidup dalam kebahagiaan adalah merupakan impian setiap insan di dunia ini.

Justeru... setiap dari kita akan cuba mencapai kebahagiaan sesuai dengan tafsiran masing-masing kerana tiada siapa yang inginkan penderitaan. Setiap daripada kita mengetahui kebahagiaan yang bagaimana diinginkan.....bagi yang tidak mempunyai harta, menjadi hartawan itu satu kebahagiaan, bagi mereka yang sakit pula....kesembuhan itu juga kebahagiaan, hurmmm....bagi yang masih bujang dan sedang bercinta, mempunyai pasangan dan kemudiannya diikat dengan satu ikatan yang sah adalah sesuatu yang amat membahagiakan...dan bagi yang ingin menambahkan lagi pasangan hidup pun adalah sesuatu paling membahagiakan.....tidak kira apa pun takrifan kebahagiaan, kesimpulannya kebahagiaan itu amat penting.

Kebahagiaan
Bahagia.... di mana mahu dicari bahagia itu? Ini bukanlah satu perkara yang aneh kerana sejak terciptanya manusia kebahagiaan mula menjadi satu pencarian. Pencarian yang acap kali membawa ke lembah duka nestapa dan tidak punya destinasi! Ada yang beranggapan bahawa kemewahan bakal membawa bahagia, lalu mereka bekerja siang dan malam untuk mencapai kemewahan  yang akhirnya tidak juga membawa bahagia....

Di mana duduknya kebahagiaan?? Jika bukan pada harta... jika bukan pada ilmu... jika bukan pada teman mahupun pasangan... di manakah kita boleh menemukan kebahagiaan yang sejati. Masalahnya bila ada bahagia mesti ada duka, dalam duka itu kerap juga timbul bahagia. Begitu juga kata orang dulu dalam bising ada diam dan dalam diam ada bising. Mengapa kebahagiaan itu sering datang dan pergi, datang tanpa diundang dan sering hilang ketika diperlukan? 

Ada yang sering menyalahkan takdir apabila dirundung malang. Katanya takdir telah menyebabkannya menjadi malang. Jika takdir disalahkan maka samalah seperti menyalahkan Yang Maha Mengetahui kerana Dialah yang melakar takdir. Sebenarnya kita sering disajikan dengan pelbagai pilihan hidup, namun pengharapan kita terhadap sesuatu sering kali menjadi penyebab berlakunya ketidakbahagiaan. Tanpa sedar manusia sebenarnya selalu dipermainkan oleh harapan. Apabila kita banyak mengharap maka apa jua pandangan dan langkah yang sepatutnya diambil terlepas pandang. Lebih menakutkan apabila harapan berubah menjadi jurutunjuk kehidupan.

Berapa kali agaknya harapan menjadi jurutunjuk dalam kehidupan? Berapa kali petunjuk itu adalah petanda yang tepat? Jangan salah faham harapan dan intuisi adalah dua perkara berbeza. Jika kita mempunyai intuisi yang tinggi maka kebanyakan tindak tanduk dipengaruhi intuisi. Intuisi sememangnya wujud pada setiap anak Adam, sebaliknya... jika harapan menggunung menjadi penentu tindak tanduk keputusan maka akan terjerumus ke jurang kekecewaan. Kekecewaan yang mendalam akan membinasakan seseorang itu secara mental terutama sekali apabila kekecewaan itu dipendam tanpa diluahkan.

Bahagia Itu Tenang
Jika kita ingin membicarakan tentang kebahagiaan maka ianya secara tidak langsung persoalan tentang jiwa. Kebahagiaan berkait rapat dengan kepuasan dan ketenangan. Jika kita hanya kelihatan tenang tetapi tidak puas maka tidak pula timbul kebahagiaan kerana tiada unsur kegembiraan hakiki. Jika sesuatu perkara itu mampu menyebabkan anda berasa tenang  yang hening maka itu adalah kebahagiaan.

Tetapi apa yang pastinya kebahagiaan bukanlah satu faktor luaran, faktor luaran itu hanyalah simbolik kehidupan tetapi bukan pelambang kebahagiaan. Maka kita perlu tahu dan kenal diri sendiri agar tidak mengecap kebahagiaan kosmetik cantiknya seketika tetapi akhirnya pudar dimamah masa.

Membuat keputusan merupakan elemen terpenting dalam mencapai kebahagiaan jangka panjang. Belajarlah untuk tidak membuat keputusan sebelum memohon petunjuk Allah s.w.t. Kadangkala apa yang kita lihat berlian pada awalnya mungkin bakal menjadi kaca akhirnya dan begitu juga sebaliknya. Hasil petunjuk daripada Allah s.w.t. tidak pernah salah kerana Allah Maha Sempurna cuma kita perlu ikhlas dalam menerima petunjuknya. Selalulah mengukir senyuman walaupun kita dirundung duka secara emosi, apabila keadaan sekeliling mula mengukir senyuman, InsyaAllah jalan keluar akan mudah terlihat.


Penderitaan Yang Disusuli Kebahagiaan...
Namun jangan sesekali merungut apabila datang penderitaan kerana setiap penderitaan akan disusuli oleh kebahagiaan asalkan tahu bagaimana untuk menemuinya. Penderitaan adalah satu proses untuk mengenali diri sendiri serta mengajar manusia bahawa setiap perancangan itu hak manusia tetapi keputusannya milik mutlak Allah yang akhirnya memberi satu laluan untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Penyayang. Mungkin selama ini laluan tersebut kabur kerana emosi duniawi yang merangkum hidup.

Tanpa kekecewaan dan penderitaan... tanpa duka nestapa, manusia tidak akan pernah faham erti kebahagiaan dan tidak pula pandai menghargainya sewaktu memilikinya. Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Mengetahui maka janganlah kita sibuk hingga lupa bertanya kepadaNya apakah yang perlu dilakukan kelak kita akan menjadi manusia yang sombong...

Kesempurnaan itu bukan milik manusia... Salam Ramadan yang ke 25  dari cheteh   




#
-alislam
-tintajiwa    

Thursday 23 June 2016

Kuasa Ketawa

Assalamualaikum sahabat....
Semoga sahabat semua dalam keadaan sihat & bahagia....

Hari ni kita share pasal ketawa@senyum.....(tengah tak de keja la niiii...tu yang rajin dok share :p)

Jika semua perasan, bila kita ketawa atau senyum, mood juga akan turut berubah, dari sedih boleh jadi ceria, marah menjadi lebih cool dan jika sakit akan rasa berkurangan. Ajaib bukan kuasa ketawa ini....bukan lama pun 15 minit setiap hari kalau ketawa atau pun senyum... kita akan rasa sesuatu yang baru, sesuatu yang fresh....ermmm cubalah....(cheteh pernah buat tau....hasilnya memang positive!)

Menurut kajian ada beberapa perkara yang akan berlaku, contohnya seperti berikut:-

1) Otot-otot Bersenam
Mengikut kajian, tubuh badan kita bekerja seperti sedang bersenam apabila kita ketawa. 80 jenis otot tubuh akan mengecut dan berehat secara berirama. Kebanyakannya adalah otot-otot di bahagian perut, belakang badan dan muka. Ketawa bukan sekadar penawar duka bahkan merangsang ketenangan jiwa dan melegakan ketegangan otot, sekurang-kurangnya untuk tempoh 45 minit.

2) Melancarkan Perjalanan Darah
Tekanan darah, pernafasan dan kadar denyutan jantung akan meningkat semasa ketawa dan melancarkan perjalanan darah. Selepas ketawa berhenti, tekanan darah akan kembali normal. Proses ini boleh membantu menurunkan tekanan darah bagi penderita darah tinggi.

3) Meningkatkan Paras Oksigen
Kita menghela udara dalam kuantiti yang lebih banyak daripada biasa ketika ketawa. Ini akan meningkatkan paras oksigen dalam darah seterusnya mengairi sel dan saraf otak. Tindak balas fisiologi ini akan membantu menyegarkan minda dan meningkatkan daya tumpuan.

4) Meningkatkan Imuniti Daya Tahan Terhadap Deria Sakit
Hormon gembira endorfin dikeluarkan ketika ketawa. Endorfin meningkatkan imuniti dan daya tahan terhadap deria sakit. Justeru, apabila melawat orang sakit, rangsanglah mereka ketawa dengan berbual sesuatu yang lucu.

5) Mengelakkan Serangn Jantung  
Penyelidik dari Universiti Maryland melaporkan seseorang yang selalu ketawa lebih susah mendapat serangan jantung. Jadi setiap orang disarankan bersenam 30minit tiga kali seminggu dan ketawa 15 minit sehari bagi mengelakkan risiko itu.

6) Ketawa Memperbaiki Hubungan Sesama Manusia
Kajian juga menunjukkan seseorang yang suka berjenaka lebih sihat dan berpeluang hidup lebih lama. Selain itu ketawa boleh memperbaiki hubungan sosial bermasyarakat. Individu yang mudah membuat orang ketawa biasanya lebih disenangi.


Semua orang pasti mahu ketawa@senyum pada bila-bila masa yang kita mahu kan... Mempunyai sense of humor adalah sangat penting untuk menjadi bahagia, dan lebih penting menjadi orang yang gembira...dapat membuat orang sekeliling kita gembira pun dah cukup bahagia.......salam sayang dari cheteh





#how to make life happy
   

Tuesday 21 June 2016

Sudahkah Kita Bersyukur Hari Ini?

Assalamualaikum sahabat....

Ada satu artikel yang menarik, cheteh nak share dengan sahabat semua......Sedekah & syukur dari sudut sains! (kalau sebelum ni kita melihat sedekah dari sudut agama & adat kannn...) Memang menarik, jommm kita amalkan...

Menurut para penyelidik dari Universiti Indiana yang dipimpin oleh Prathik Kini, sebahagian besar orang memilih cara meredakan tekanan dengan cara yang akhirnya menimbulkan masalah baru. Padahal, ada cara lain yang boleh anda lakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa iaitu....bersyukur!

Berdasarkan kajian ke atas 43 orang responden, semakin kuat rasa bersyukur yang dirasakan dan semakin banyak wang yang diberikan untuk beramal, semakin tinggi aktiviti otak di daerah frontal, parietal dan oksipital.

Kesannya, akan terbit rasa emosional yang unik bila dilakukan secara rutin, iaitu perasaan bahagia, merasa cukup, bahkan meningkatkan empati pada orang lain. Dengan kata lain, semakin kerap kita bersyukur dan beramal, bahagian otak seakan memiliki kemampuan baru, iaitu 'otot syukur' yang dapat diperkuat bila kita sering bersyukur. Semakin kuat otot tersebut....akan banyak pula perasaan-perasaan bahagia yang muncul secara spontan di masa depan.

Jadi sudahkah kita bersyukur hari ini?? 

"Jika kita mampu bersyukur dengan apa yang kita ada, kita tidak akan risau dengan apa yang bukan milik kita"...... Alhamdulillah




#isihat ummb



Monday 20 June 2016

Tukar Tradisi Demi Pahala Berganda (Salam Ramadan....)

Assalamualaikum sahabat.....

Salam Ramadan Al Mubarak

Hari ini adalah hari yang ke 16 Ramadan 1437 H....Alhamdulillah, dalam diam sudah separuh Ramadan ditinggalkan....

Jomm cheteh share kan artikel tradisi memberi duit raya @ sedekah di bulan Ramadan, semoga bermanfaat untuk kita semua.

Dalam Islam perkara yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri adalah Zakat Fitrah. Mesej daripada ibadat Zakat Fitrah ini adalah meraikan hari kegembiraan bersama dengan mereka yang kurang berkemampuan supaya turut meraikannya bersama dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Selari dengan tuntutan ibadah tersebut, kita digalakkan memperbanyakkan sedekah agar semua golongan dapat menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan. Langkah memperbanyakkan amalan bersedekah kepada orang miskin dan anak yatim sememangnya amalan yang sangat mulia dan terpuji.

Selain itu amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak untuk melahirkan kesyukuran dan mengharapkan kanak-kanak bergembira adalah sesuatu yang amat positif, namun kesan daripada budaya memberi duit raya ini agak membimbangkan kerana berkemungkinan akan menyebabkan kanak-kanak tidak memahami hasrat sebenar pemberian duit raya tersebut dan menganggap tidak sah menyambut raya tanpa duit raya.

Namun kini dalam masyarakat kita, amalan memberi duit raya @ 'ang pau' seolah-olah merupakan satu kemestian dan tidak boleh dipisahkan. Malah, kadangkala kita sering terdengar keluhan sesetengah orang yang tidak mampu menyediakan duit raya, juga terdapat kanak-kanak yang mengeluh kerana tidak diberi duit raya.

Tidak dinafikan budaya bersedekah adalah tuntutan dalam islam  apatah lagi pada hari kita melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah. Namun melihat kepada amalan masyarakat kita pada hari ini, budaya memberi duit raya pada hari raya sedikit tersasar daripada konsep sedekah dalam islam atas beberapa alasan berikut:

Pertama: Budaya memberi duit raya pada hari ini bukan mengutamakan golongan susah, fakir miskin atau anak yatim seperti yang dianjurkan. Sebaliknya kita jadi serba salah untuk memberikan duit raya yang sedikit jumlahnya kepada kanak-kanak daripada keluarga yang kaya kerana berasa bimbang mereka akan memandang rendah kepada pemberian kita sekali gus bimbang dipandang serong serta dicemuh apabila jumlah duit yang diisi dalam sampul tidak berbaloi! Walhal kalau diikutkan siapa yang lebih berhak dapat banyak, sudah tentulah sasarannya anak yatim yang susah serta orang-orang fakir dan miskin.

Kedua: Amalan menggalakkan kanak-kanak meneruskan budaya mengunjungi dari rumah ke rumah secara berkumpulan tanpa kawalan ibu bapa dan keluarga kebanyakannya bertukar menjadi kumpulan peminta sedekah kerana penghayatan ziarah tidak begitu dihayati oleh kanak-kanak yang masih kecil. Dikalangan orang dewasa pula, memberi duit raya kepada golongan kanak-kanak sebegini bukan lagi kerana niat bersedekah, tetapi lebih kepada faktor desakan dan permintaan golongan kanak-kanak tersebut. Atau mungkin juga kerana tidak mahu mereka berlama-lama di rumah kita, maka kita cepat-cepat menghulurkan sampul raya dengan harapan mereka boleh beredar dengan cepat. Alahai betapa terpesongnya amalan kita hari ini!, dan sesuatu yang pasti silaturahim entah ke mana apatah lagi mahu mengenali siapa pula nama tuan rumah ni ye??

Ketiga: Rasanya semua orang sudah tahu bahawa amalan bersedekah di bulan Ramadan ganjaranya cukup besar di sisi Allah, tapi kita terlalu kedekut untuk memberi pada waktu itu bahkan sebolehnya menyimpan duit yang ada untuk dihulurkan di hari raya. Alangkah kita sebenarnya cukup rugi kerana gandaan pahala di bulan  Ramadan kita lepaskan begitu sahaja.

Dan sekali lagi yang pasti, apakah pahala yang sedikit itu lebih kita pandang daripada yang banyak? Fikir-fikirlah dan jom kita ubah tradisi ini dan renung kata-kata Ibnu Abbas r.a. yang menyebut..."Nabi s.a.w adalah manusia yang baik dan pemurah dengan segala jenis kebaikan dan Nabi paling pemurah adalah di bulan Ramadan, di mana ketika bertemu Jibrail yang datang di setiap hari di bulan Ramadan membentangkan (menyemak) Al-Quran daripada Nabi s.a.w. Apabila bertemu Jibrail maka Nabi akan menjadi paling pemurah dengan kebaikan lebih dari angin yang bertiup." (HR Bukhari)

KEBURUKAN MEMBERI DUIT RAYA

Hakikatnya tidak salah memberi pada waktu mana yang hendak kita beri. Tapi kalau ada waktu yang lebih afdal apa salahnya kita rebut peluang yang tersedia di depan mata. Apa pun, budaya memberi duit raya perlu dikawal supaya tidak lahir pada masa akan datang generasi yang menyambut raya semata-mata tradisi duit raya tanpa menghayati roh sebenar sambutan hari raya. Antara kesan yang dibimbangkan ialah:  

1) Muncul generasi islam yang tidak memahami aspirasi sebenar menyambut hari raya yang lebih mengutamakan takbir, tasbih dan tahmid di samping amalan ziarah dan bermaaf-maafan.

2) Generasi kanak-kanak dan belia hari ini akan membesar dalam persekitaran materialistik dan lebih mementingkan  elemen material berbanding dengan aspek roh hari raya itu sendiri dan akan wujud badaya meminta oleh kanak-kanak yang mendesak orang dewasa memberi duit raya.

3) Kemungkinan timbul ketakutan di kalangan ahli masyarakat yang bimbang dicemuh lantaran tidak menyediakan duit raya atau tidak memenuhi tradisi budaya memberi duit raya.

4) Wujud budaya persaingan mengumpul duit raya di kalangan kanak-kanak. Malah lebih teruk berlaku persaingan di kalangan adik-beradik sendiri sehingga boleh membawa kepada sifat iri hati dan cemburu.

Maka sewajarnya amalan ini perlu dinilai semula agar tidak timbul keburukan di sebalik amalan bersedekah yang murni ini.

AMALAN BERSEDEKAH

Sesuatu yang perlu difahami, pemberian duit raya tidaklah menyalahi syariat islam. Bahkan ia samalah seperti amalan memberi sedekah atau hadiah kepada seseorang dengan tujuan dapat mengeratkan silaturahim.  

Bukan itu sahaja, pemberian yang diberikan ini adalah sebagai kebajikan yang mengharapkan keredaan Allah dan pahala semata-mata. Sedekah boleh diberikan kepada sesiapa saja tanpa mengira miskin atau kaya. Namun kita dituntut untuk bersedekah kepada orang miskin dan sangat memerlukan. Nabi s.a.w. bersabda: "Takutila api neraka walaupun dengan sebiji tamar." Sabdanya lagi; "Sedekah itu penghapus dosa seperti air memadam api."

Sedekah yang lebih utama diberikan kepada kaum kerabat atau sanak saudara terdekat sebelum diberikan kepada orang lain. Ini selaras dengan memelihara keluarga daripada meminta-minta dan mencukupkan keperluan keluarga terdekat dahulu. Kemudian barulah diberikan kepada orang lain, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai." (Ali Imran: 92)

Pemberian duit Raya setahun sekali ini bukan sahaja memberikan duit simpanan kepada kanak-kanak, malah mereka juga boleh menggunakan 'pemberian' tersebut untuk kegunaan peribadi seperti membeli buku dan keperluan persekolahan.

Pun begitu, dalam memberi perlukan keikhlasan dan jarang lakukan dalam keadaan terpaksa atau takut orang kata, "Tuan rumah tu kedekutlah, tak ada langsung duit raya!" Awas...jangan sesekali hal ini berlaku.



#sumber: Iman




    

Indahnya Bersalam

Assalamualaikum sahabat... #Rasulullah SAW bersabda:  "Jika seorang Mukmin bertemu dengan Mukmin lain lalu mengucapkan salam ke...