Thursday 30 June 2016

Dalam Duka Ada Bahagia...

Assalamualaikum sahabat....

Dahulu dalam rancangan-rancangan permintaan lagu di radio, banyak sekali kita dengar ucapan "semoga anda berbahagia selalu". Mungkin sekarang radio bukan lagi peneman kesunyian bagi kebanyakan kita, sekarang telefon bimbit adalah teman sejati, teknologi canggih  membolehkan kita terus sahaja menyampaikan ucapan kepada sesiapa yang dikehendaki dan boleh menghantar lagu-lagu yang ingin didengar. Menariknya hingga kini ucapan-ucapan yang dihantar tetap sahaja diselitkan dengan ucapan untuk kebahagiaan. Tiada siapa yang tidak mahu bahagia kan?? Kalau boleh kita mahu berasa bahagia sentiasa sehingga kita memejamkan mata buat selamanya.... Pendek kata, hidup dalam kebahagiaan adalah merupakan impian setiap insan di dunia ini.

Justeru... setiap dari kita akan cuba mencapai kebahagiaan sesuai dengan tafsiran masing-masing kerana tiada siapa yang inginkan penderitaan. Setiap daripada kita mengetahui kebahagiaan yang bagaimana diinginkan.....bagi yang tidak mempunyai harta, menjadi hartawan itu satu kebahagiaan, bagi mereka yang sakit pula....kesembuhan itu juga kebahagiaan, hurmmm....bagi yang masih bujang dan sedang bercinta, mempunyai pasangan dan kemudiannya diikat dengan satu ikatan yang sah adalah sesuatu yang amat membahagiakan...dan bagi yang ingin menambahkan lagi pasangan hidup pun adalah sesuatu paling membahagiakan.....tidak kira apa pun takrifan kebahagiaan, kesimpulannya kebahagiaan itu amat penting.

Kebahagiaan
Bahagia.... di mana mahu dicari bahagia itu? Ini bukanlah satu perkara yang aneh kerana sejak terciptanya manusia kebahagiaan mula menjadi satu pencarian. Pencarian yang acap kali membawa ke lembah duka nestapa dan tidak punya destinasi! Ada yang beranggapan bahawa kemewahan bakal membawa bahagia, lalu mereka bekerja siang dan malam untuk mencapai kemewahan  yang akhirnya tidak juga membawa bahagia....

Di mana duduknya kebahagiaan?? Jika bukan pada harta... jika bukan pada ilmu... jika bukan pada teman mahupun pasangan... di manakah kita boleh menemukan kebahagiaan yang sejati. Masalahnya bila ada bahagia mesti ada duka, dalam duka itu kerap juga timbul bahagia. Begitu juga kata orang dulu dalam bising ada diam dan dalam diam ada bising. Mengapa kebahagiaan itu sering datang dan pergi, datang tanpa diundang dan sering hilang ketika diperlukan? 

Ada yang sering menyalahkan takdir apabila dirundung malang. Katanya takdir telah menyebabkannya menjadi malang. Jika takdir disalahkan maka samalah seperti menyalahkan Yang Maha Mengetahui kerana Dialah yang melakar takdir. Sebenarnya kita sering disajikan dengan pelbagai pilihan hidup, namun pengharapan kita terhadap sesuatu sering kali menjadi penyebab berlakunya ketidakbahagiaan. Tanpa sedar manusia sebenarnya selalu dipermainkan oleh harapan. Apabila kita banyak mengharap maka apa jua pandangan dan langkah yang sepatutnya diambil terlepas pandang. Lebih menakutkan apabila harapan berubah menjadi jurutunjuk kehidupan.

Berapa kali agaknya harapan menjadi jurutunjuk dalam kehidupan? Berapa kali petunjuk itu adalah petanda yang tepat? Jangan salah faham harapan dan intuisi adalah dua perkara berbeza. Jika kita mempunyai intuisi yang tinggi maka kebanyakan tindak tanduk dipengaruhi intuisi. Intuisi sememangnya wujud pada setiap anak Adam, sebaliknya... jika harapan menggunung menjadi penentu tindak tanduk keputusan maka akan terjerumus ke jurang kekecewaan. Kekecewaan yang mendalam akan membinasakan seseorang itu secara mental terutama sekali apabila kekecewaan itu dipendam tanpa diluahkan.

Bahagia Itu Tenang
Jika kita ingin membicarakan tentang kebahagiaan maka ianya secara tidak langsung persoalan tentang jiwa. Kebahagiaan berkait rapat dengan kepuasan dan ketenangan. Jika kita hanya kelihatan tenang tetapi tidak puas maka tidak pula timbul kebahagiaan kerana tiada unsur kegembiraan hakiki. Jika sesuatu perkara itu mampu menyebabkan anda berasa tenang  yang hening maka itu adalah kebahagiaan.

Tetapi apa yang pastinya kebahagiaan bukanlah satu faktor luaran, faktor luaran itu hanyalah simbolik kehidupan tetapi bukan pelambang kebahagiaan. Maka kita perlu tahu dan kenal diri sendiri agar tidak mengecap kebahagiaan kosmetik cantiknya seketika tetapi akhirnya pudar dimamah masa.

Membuat keputusan merupakan elemen terpenting dalam mencapai kebahagiaan jangka panjang. Belajarlah untuk tidak membuat keputusan sebelum memohon petunjuk Allah s.w.t. Kadangkala apa yang kita lihat berlian pada awalnya mungkin bakal menjadi kaca akhirnya dan begitu juga sebaliknya. Hasil petunjuk daripada Allah s.w.t. tidak pernah salah kerana Allah Maha Sempurna cuma kita perlu ikhlas dalam menerima petunjuknya. Selalulah mengukir senyuman walaupun kita dirundung duka secara emosi, apabila keadaan sekeliling mula mengukir senyuman, InsyaAllah jalan keluar akan mudah terlihat.


Penderitaan Yang Disusuli Kebahagiaan...
Namun jangan sesekali merungut apabila datang penderitaan kerana setiap penderitaan akan disusuli oleh kebahagiaan asalkan tahu bagaimana untuk menemuinya. Penderitaan adalah satu proses untuk mengenali diri sendiri serta mengajar manusia bahawa setiap perancangan itu hak manusia tetapi keputusannya milik mutlak Allah yang akhirnya memberi satu laluan untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Penyayang. Mungkin selama ini laluan tersebut kabur kerana emosi duniawi yang merangkum hidup.

Tanpa kekecewaan dan penderitaan... tanpa duka nestapa, manusia tidak akan pernah faham erti kebahagiaan dan tidak pula pandai menghargainya sewaktu memilikinya. Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Mengetahui maka janganlah kita sibuk hingga lupa bertanya kepadaNya apakah yang perlu dilakukan kelak kita akan menjadi manusia yang sombong...

Kesempurnaan itu bukan milik manusia... Salam Ramadan yang ke 25  dari cheteh   




#
-alislam
-tintajiwa    

No comments:

Post a Comment

Indahnya Bersalam

Assalamualaikum sahabat... #Rasulullah SAW bersabda:  "Jika seorang Mukmin bertemu dengan Mukmin lain lalu mengucapkan salam ke...