Thursday 12 November 2015

Derma Darah

Assalamualaikum & salam sejahtera sahabat...

Beberapa hari yang lepas cheteh ada menderma darah, alhamdulillah setakat ni cheteh jadikan derma darah ni rutin setiap tahun, sekurang-kurangnya setahun sekali (kalau cheteh terlalu sibuk & sihat...InshaAllah). Tempoh yang sesuai untuk menderma darah adalah setiap tiga bulan sekali (kalau hospital swasta tetapi kalau hospital kerajaan dibolehkan dua bulan sekali) tetapi mesti dalam keadaan sihat, tidak demam,  tidak mengambil sebarang ubat dalam tempoh seminggu sebelum derma darah dan untuk wanita mestilah bebas PMS (singkatan dari Premenstrual Syndrome, yang terjadi ketika wanita datang bulan/period).

Kecintaan menderma darah semuanya terjadi selepas salah seorang staff dari jab lain yang memerlukan darah fresh ketika melakukan bypass di Sime Darby Medical Centre beberapa tahun yang lalu. Darah yang diperlukan adalah O+ (yang ketika itu agak terhad), bermula dari tarikh itu cheteh mula menderma, Alhamdulillah .....okeh, jomm kita share article ni...

Aktiviti menderma darah cukup penting, kerana ia mampu memberi secebis sinar kehidupan buat insan lain yang memerlukan bagi meneruskan kelangsungan hidup. Sungguhpun begitu, kesedaran masyarakat dalam menderma darah masih di tahap yang rendah.

Buktinya...hanya 2.2 peratus rakyat Malaysia tampil menderma. Meskipun bekalan darah negara masih mencukupi setakat ini, namun sumbangan penderma tetap diperlukan bagi menjamin bekalan darah semasa sentiasa berada dalam simpanan.

Bertepatan dengan sasaran setanding negara maju, Pusat Darah Negara (PDN) dan Perkhidmatan Transfusi Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan peningkatan dua kali ganda jumlah peratusan penderma sedia ada.

Keperluan ini selaras dengan visi penubuhan PDN iaitu sedia berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan bekalan darah mencukupi, selamat di samping menjadi pusat rujukan yang cemerlang di bidang Transfusi Perubatan.

Justeru Ketua Unit Pendidikan Kesihatan & Publisiti Pusat Darah Negara, Syarmilla Yusoff, menggesa masyarakat agar menderma darah dan menjadikan aktiviti ini sebagai satu amalan. Ini kerana selangkah seorang individu itu tampil menderma darah, tiga nyawa lain dapat diselamatkan. "Penderma darah ini saya anggap sebagai hero. Mereka bukan sahaja tampil menderma secara sukarela, tetapi darah yang disumbangkan dapat menyelamat banyak nyawa. Satu pek darah terbahagi kepada tiga komponen iaitu Plasma, Platelet dan Sel Darah Merah itu sendiri. Jadi ia dapat memenuhi pelbagai keperluan khasnya dalam proses rawatan pesakit seperti kanser, talasemia, hemofilia dan pesakit denggi. Tidak ketinggalan ketika kes kecemasan seperti trauma berlaku," katanya. 

PDN Kumpul Darah Selamat

Sungguhpun PDN menerima semua jenis kelompok darah yang disumbangkan, terdapat beberapa kriteria khas perlu dipenuhi bagi melayakkan seseorang itu menderma. PDN berbesar hati sekiranya individu yang berusia 18 hingga 70 tahun, memiliki berat badan 45 kilogram dan ke atas, tiada masalah kesihatan, tidur melebihi 5 jam dan kandungan hemoglobin melebihi tahap yang ditetapkan (iaitu 13.5g/dL untuk lelaki dan 12.5 g/dL untuk perempuan) untuk menderma darah. (nasib baik cheteh nya hemoglobin ngam-ngam ooo....tapi adakala bila hemoglobin rendah memang tak bolehlah nak derma waktu tu....)

Manakala penderma berusia 17 hingga 18 tahun pula, memerlukan keizinan bertulis daripada ibu bapa atau penjaga diperlukan sebelum datang menderma darah.

Bagi mengelakkan risiko penyebaran penyakit yang boleh menular daripada transfusi darah (HIV, hepitatis B, hepatatis C dan sifilis) kepada bakal penerima darah pula, PDN hanya menerima penderma yang sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Justeru, individu terlibat dengan sebarang aktiviti berisiko tinggi seperti mengamalkan hubungan seks sesama jenis, mengadakan hubungan jenis dengan pekerja seks komersial, bertukar-tukar pasangan secara rambang dan mengambil dadah secara suntikan tidak dibenarkan untuk menderma darah.

Bagi penderma darah yang tinggal sekitar Lembah Klang yang berhasrat untuk menderma darah, mereka bolehlah datang sendiri ke PDN. Pusat ini dibuka setiap hari, dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 7.30 pagi hingga 8 malam. Manakala Sabtu dan Ahad, operasi bermula dari jam 8 pagi sehingga 4 petang.

Bagi indivitu yang tinggal di luar kawasan ini, mereka boleh mengunjungi mana-mana 128 pusat kutipan darah seluruh negara atau ke Tabung Darah di hospital-hospital negeri dan hospital swasta.

No automatic alt text available.

Image may contain: one or more people

No automatic alt text available.

Image may contain: coffee cup


Sesungguhnya darah itu merah, semuanya sama tiada beza....yang membezakan kita hanyalah akal & amal......Selamat menderma, semoga dengan amal yang sedikit ini dapat menyelamatkan ramai nyawa, Aamiin 


#sumber; Pusat Darah Negara, iSihat



No comments:

Post a Comment

Indahnya Bersalam

Assalamualaikum sahabat... #Rasulullah SAW bersabda:  "Jika seorang Mukmin bertemu dengan Mukmin lain lalu mengucapkan salam ke...