Monday 5 October 2015

Derma Organ

Assalamualaikum & salam sejahtera sahabat semua....

Semoga sahabat semua dalam keadaan yang sihat walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) beberapa kawasan di Malaysia mencatat bacaan sangat tidak sihat.....jaga diri, jangan lupa nak keluar pakai topeng muka (mask) & minum air masak banyak-banyak ya.....

Dah lama nak share pasal article 'Derma Organ' nih....tapi tu laa, kekangan masa yang membataskan untuk menulis....ok jomm, meh kita baca seterusnya...

Di Malaysia, menderma organ bukanlah perkara wajib. Namun, melihat kepada keperluan insan lain yang memerlukan organ gantian, maka kita disyorkan untuk mendaftar sebagai penderma organ. Namun begitu masih ramai yang tidak boleh menerima hakikat jika ada di kalangan ahli keluarga mereka mendaftarkan diri sebagai penderma organ setelah meninggal dunia. Begitu juga dalam isu mati otak, pesakit yang disahkan mati otak layak mendermakan organ mereka. 

Ini disebabkan oleh kesedaran rakyat Malaysia mengenai penderma organ masih rendah. Bayangkan dalam tempoh 38 tahun jumlah keseluruhan penderma yang dicatatkan hanya seramai 446 orang. bermula 1976 sehingga akhir Januari lalu. (cheteh tak nak nyatakan berapa pecahan penderma mengikut kaum....sebab apa?? sebabnya terlalu sedikit jika nak dibandingkan dengan hampir 30 juta penduduk Malaysia...)

Pendermaan organ atau tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan kita untuk tujuan pemindahan kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas pemindahan organ, seseorang itu dapat meneruskan kehidupan dan hidup dengan kualiti yang lebih baik. 

Organ yang boleh didermakan di Malaysia ialah:
- Jantung
- Paru-paru
- Hati
- Buah Pinggang
Tisu yang boleh didermakan di Malaysia ialah:
- Injap Jantung
- Mata (kornea)
- Tulang
- Kulit

Penderma Hidup

Bukan hanya pesakit yang meninggal dunia disebabkan mati otak sahaja boleh mendermakan organ, penderma hidup juga boleh melakukannya. Tetapi kita hanya boleh mendermakan satu buah pinggang atau sebahagian hati, dan sum-sum tulang sahaja. Pendermaan semasa hidup terbahagi kepada 2 jenis iaitu pendermaan ada pertalian saudara(Living Related) dan pendermaan tiada talian saudara (Non-living Related).

Akan tetapi, pendermaan semasa hidup mempunyai pelbagai risiko walaupun risikonya rendah. Pendermaan ini terhad kepada mereka yang mempunyai pertalian darah atau mereka yang mempunyai hubungan emosi seperti suami isteri sahaja. Ini bagi mengelakkan kegiatan jual beli organ berlaku.

Penderma Kadaverik

Penderma Kadaverik adalah penderma yang telah meninggal dunia. Pendermaan ini amat digalakkan dan diutamakan di Malaysia. Ianya tidak memberikan risiko kepada penderma. Penderma kadaverik juga terbahagi kepada 2 jenis: 

Kematian Otak
  • Hanya penderma yang kematian otak boleh mendermakan organ dan tisu seperti Jantung, Paru-paru, Hati & Buah Pinggang (Ginjal), Mata (Kornea), Tulang & Kulit. Penderma yang mati otak adalah penderma yang disahkan meninggal dunia di hospital.
  • Untuk pendermaan organ, seseorang yang kematian otak tidak akan mempunyai tindak balas dan tidak bernafas. Dengan bantuan mesin (ventilator) jantung akan berfungsi seketika. Namun organ-organ lain akan mengalami kerosakan dan akhirnya degupan jantung akan berhenti dengan sendiri walaupun dengan sokongan mesin.
  • Pengesahan kematian akan dilakukan oleh dua orang doktor pakar yang bertauliah melalui dua ujian berasingan. Doktor tersebut tiada kaitan dengan tugasan pengambilan atau transplantasi organ. 
  • Ujian pengesahan yang dijalankan adalah mengikut protokol yang diterima pakai di merata dunia. Ini adalah pendirian saintifik perubatan antarabangsa dan juga diterima oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
  • Setelah disahkan mati otak, sijil pengesahan akan dikeluarkan dan mesin bantuan pernafasan akan diberhentikan. Sekiranya untuk pendermaan organ, mesin akan diberhentikan di dewan bedah sebelum organ diperoleh. Jika bukan untuk pendermaan organ mesin akan diberhentikan di Unit Rawatan Rapi.   
Kematian Jantung Berhenti Berdegup
  • Kematian ini adalah kematian normal di mana seseorang itu disahkan mati kerana jantung terhenti berdegup.
  • Penderma yang meninggal dunia secara jantung terhenti boleh mendermakan tisu sahaja seperti mata (kornea), tulang, kulit dan injap jantung.
  • Mereka yang meninggal dunia di hospital boleh mendermakan semua jenis tisu.
  • Bagi mereka yang meninggal di rumah hanya boleh mendermakan mata (kornea). Pihak keluarga perlu menghubungi hospital kerajaan terdekat bagi tujuan perolehan tisu tersebut di rumah.
Siapa Yang Layak Menjadi Penderma?

Sesiapa sahaja pun boleh mendaftar menjadi pengikrar penderma organ dan tisu kecuali mereka yang mengidap penyakit berjangkit seperti HIV AIDS, Hepatitis B dan C, Sifilis, untuk mereka kurang dari 18 tahun, (kebenaran bertulis dari ibu bapa adalah diperlukan).

Semua pengikrar penderma organ dinasihatkan agar memberitahu ahli keluarga tentang hasrat mereka untuk mendermakan organ selepas mereka meninggal dunia. Ini akan memudahkan keluarga untuk memberikan kebenaran untuk pengambilan organ dan tisu selepas kematian mereka. 

Pandangan Agama

Islam mengharuskan pendermaan organ selepas meninggal dunia. Agama-agama lain di Malaysia seperti Buddha, kristian, Hindu dan Sikh juga membenarkan pendermaan organ setelah meninggal dunia dan menganggapnya amalan yang mulia. Di Malaysia, Mesir, Arab Saudi, Iran, Pakistan dan Singapura, umat islam dibenarkan berikrar serta mendermakan organ atau tisu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Daftarlah sekarang, jadilah pengikrar penderma organ.....Salam sayang dari cheteh untuk sahabat semua...."Rasa Takut Bukanlah Untuk Dinikmati, Tetapi Adalah Untuk Dihadapi..."

Sekiranya sahabat semua berminat, bolehlah menghubungi:

www.dermaorgan.gov.my

Talian Bebas Tol: 1800-88-9080

Pusat Sumber Transplan Nasional:
Hospital Kuala Lumpur
Telefon: 03 26810681/03 26810682
Fax: 03 26810680

Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh Perak 
Telefon: 05 2085161
Fax: 05 2428033

Hospital Pulau Pinang
Telefon: 04 2225780/04 2225781
Fax: 04 2292433

Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru
Telefon: 07 2257000 samb 2751
Fax: 07 2242694




#sumber: Unit Perkhidmatan Transplan & Pusat Sumber Transplan Nasional

No comments:

Post a Comment

Indahnya Bersalam

Assalamualaikum sahabat... #Rasulullah SAW bersabda:  "Jika seorang Mukmin bertemu dengan Mukmin lain lalu mengucapkan salam ke...