Sunday 28 February 2016

Buah Betik & Tangga

Assalamualaikum & salm sejahtera sahabat....

Apakhabar sahabat? Semoga semuanya sihat sejahtera. 

Jom kita share kisah tazkirah yang cheteh baca....semoga dapat memberi pemanfaatan kepada kita semua....

Ini kisah Pak Tua yang hidup sederhana bersama isterinya di pinggir bandar. Menghabiskan hari tuanya dengan bercucuk tanam. Bahagia baginya apabila melihat pokok betik baka terbaik hadiah daripada seorang teman sudah mula berbuah malah ada dua biji sudah mula menguning.

"Biarlah dahulu, esok baru boleh petik," bisik Pak Tua. 

Keesokan paginya Pak Tua ke kebun yang terletak di belakang rumahnya untuk memetik buah betik. Tapi....buah betiknya sudah hilang mungkin juga dicuri orang!

Pak Tua pulang ke rumah dengan wajah yang sedih hingga menutup seleranya untuk menikmati makan tengah hari. "Tak kan kerana sebiji betik membuatmu murung," tegur isterinya.

"Bukan itu yang membuatkan aku sedih," jawab Pak Tua. "Aku terfikir, kesian orang yang mengambil buah betik kita itu, terpaksa ambil sembunyi-sembunyi supaya orang tidak nampak yang dia mencuri. Mesti dia kesulitan."

Lama Pak Tua terdiam sambil berfikir apa yang harus dilakukan. "Pah,....(kata Pak Tua pada isterinya) malam ini aku hendak sandarkan tangga di bawah pokok betik itu, moga-moga kalau orang itu datang lagi....ini dapat membantunya," Pak Tua melemparkan cadangan....

Tatkala pagi menjelma, Pak Tua turun ke kebunnya untuk melihat pokok betiknya. Dia lihat buah betiknya masih ada dan tangga yang tersandar di situ tidak diusik langsung. Pada ingatannya mungkin pencuri itu tidak berkesempatan untuk memetik betiknya dan akan kembali lagi pada keesokan malamnya.

Tapi sudah tiga hari diperhatikan buah betik dan tangganya masih tidak terusik! Pada petangnya, seorang lelaki datang ke rumah Pak Tua membawa dua biji betik yang besar.

"Pakcik, sebenarnya saya datang lagi pada malam berikutnya untuk mengambil buah betik itu. Hati saya menjadi tidak sedap apabila terpandang ada tangga yang disandarkan di pangkal pokok betik itu." Lelaki itu terdiam seketika  sambil memandang dua biji betik yang diletakkan di hadapan Pak Tua.

"Apa sebenarnya yang pakcik mahu lakukan? Adakah  pakcik mahu membantu saya mencuri betik yang masih tinggal?" soal lelaki itu. 

"Bukan begitu wahai anak muda. Aku sekadar membantumu untuk memudahkan kamu memetik buah betik itu. Mungkin kamu amat memerlukannya berbanding aku," jawab Pak Tua.

"Sejak itu saya tidak mahu lagi mencuri buah betik pakcik dan saya gantikan dengan buah yang baru saya beli di pasar tadi," kata lelaki itu.

Nahhh....mampukah kita bersikap redha dengan kehilangan sesuatu yang disayangi lalu mengikhlaskannya dengan berfikiran positif. Melupakan kehilangan dan musibah yang berlaku. Membalas kejahatan dengan kebaikan kerana itu adalah sebaik-baik cara membalas dendam. Hati tidak terasa sakit malah semakin tenang dan bahagia.





#Al islam

No comments:

Post a Comment

Indahnya Bersalam

Assalamualaikum sahabat... #Rasulullah SAW bersabda:  "Jika seorang Mukmin bertemu dengan Mukmin lain lalu mengucapkan salam ke...